..::Slide Show Amsyar::..

Isnin, 7 April 2008

..::Fahami tumbesaran anak-anak::..

Yer.. kawan2 hari ini amsyar bawakan satu artikel mengenai kita dan betapa kita memerlukan keprihatinan mama dan baba... kepada kawan2 selamat membaca..

SETIAP anak yang baru lahir adalah anugerah dan amanah kepada ibu bapa yang harus dilaksanakan dengan sempurna.

Ibu yang bertanggung jawab akan mengambil inisiatif memberikan yang terbaik untuk anak mereka seperti suntikan imunisasi yang wajib kepada setiap bayi baru lahir.

Antaranya, vitamin K untuk mengelakkan pendarahan pusat serta hepatitis B dan vaksin BCG yang diambil dalam tempoh 12 jam selepas lahir.

Ketua Unit Seksualiti, Bahagian Reproduksi Manusia Lembaga Pembangunan Penduduk Keluarga Negara (LPPKN), Dr. Hamizah Mohd. Hassan berkata, proses tumbesaran anak-anak perlu diberi perhatian sejak dari dalam kandungan lagi bagi memastikan mereka membesar dengan sihat dan cerdas.

“Umumnya bayi mudah terdedah kepada pelbagai penyakit, masalah jangkitan boleh berlaku kepada bayi sejak dari dalam kandungan lagi.

“Jadi amatlah perlu bagi seorang ibu itu memberi perhatian yang lebih dalam tempoh ini agar bayi tersebut boleh membesar menjadi kanak-kanak dan seterusnya remaja yang sihat,” ujarnya ketika memberi ceramah di Menara LPPKN, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr. Hamizah berkata, penyakit yang sering menyerang kanak-kanak di bawah usia setahun ialah jangkitan pada saluran pernafasan seperti batuk dan selesema.

“Dalam usia ini mereka sangat rentan, namun sekiranya si ibu memberikan susu ibu kepada anak, mereka akan mendapat antibodi serta perlindungan daripada penyakit berjangkit.

“Selain jangkitan pada saluran pernafasan, kanak-kanak bawah umur satu tahun juga kerap mengalami masalah kulit seperti ruam panas dan ekzema. Masalah lain pula seperti jangkitan pada saluran penghadaman yang menyebabkan sembelit, cirit-birit dan kembung perut,” jelas beliau.

Dalam tempoh itu, ibu bapa juga harus peka dengan keadaan alahan anak-anak sebagai perlindungan awal sebelum penyakit tersebut merebak sehingga menyebabkan ketidakselesaan.

“Pada peringkat usia satu hingga tiga tahun, kanak-kanak mula menunjukkan ciri-ciri berdikari seperti mahu makan sendiri dan mengadakan latihan penggunaan tandas kepada anak-anak.

“Peringkat seterusnya ialah kanak-kanak tiga hingga lima tahun. Pada peringkat ini mereka kurang terkena masalah kesihatan, namun mudah tercedera kerana sifat ingin tahu yang tinggi,” jelas beliau yang juga bekas doktor perbidanan.

Jelasnya, apabila memasuki zaman kanak-kanak iaitu peringkat usia lima hingga sembilan tahun dan 10 hingga 19 tahun, mereka mula berjauhan dengan ibu bapa kerana mula bersekolah.

Remaja dan kanak-kanak ini belajar lebih banyak perkara di luar rumah dan imuniti tubuh mereka juga lebih kuat serta dapat menumpu perhatian lebih lama kepada sesuatu perkara.

“Namun, ibu bapa tetap perlu mengawasi anak sebaik mungkin dengan memastikan alat permainan mereka selamat dan sesuai dengan peringkat umur mereka.

“Pada peringkat kanak-kanak ini, ada di antara mereka yang mengalami masalah yang dikenali sebagai disleksia. Punca penyakit ini tidak diketahui dan dikatakan ia berkaitan dengan genetik.

“Mereka yang mengalami disleksia membaca dan menulis dalam keadaan terbalik, mereka juga sukar menyebut perkataan dengan betul dan ada kalanya menyebut perkataan dengan bunyi terbalik seperti ‘top’ disebut ‘pot’.

“Rawatannya ialah dengan menjalani terapi daripada guru terlatih dan mengenalpasti kebolehan lain seperti seni, sukan dan sebagainya,” jelas beliau.

Melewati peringkat remaja, iaitu apabila usia mencapai 10-14 tahun (awal remaja), 15-17 (pertengahan) dan 18-19 (lewat remaja), adalah zaman peralihan dari kanak-kanak kepada dewasa.

Dalam tempoh ini perkembangan seksualiti mereka sangat ketara dan emosi serta psikologi mereka ada kalanya memeningkan ibu bapa.

Di peringkat ini apa yang remaja perlu tahu ialah mendalami perkembangan seksual menerusi pendidikan seks, belajar cara-cara menangani masalah dan menghadapinya.

“Masalah kesihatan seksual remaja ialah seks tanpa perlindungan, tanpa nikah dan penderaan serta eksploitasi seks. Jadi adalah penting bagi ibu bapa menyediakan diri dan anak-anak tentang panduan kesihatan yang betul agar mereka menjadi insan yang positif,” katanya.

Ibu bapa dan guru adalah orang terdekat yang bertanggungjawab membentuk remaja menjadi dewasa dan berguna. Justeru mereka harus mengambil kesempatan menambah ilmu keibubapaan sebagai panduan dalam membesarkan anak-anak dengan cara yang terbaik.

Sekadar ini lah sahaja perkongsian maklumat daripada amsyar.. semoga kita membesar bersama dengan sihat dan cegas.. tata kawan2.. wslm.

Tiada ulasan: